Friday, July 31, 2009

KEBAHAGIAAN DALAM DUKA

Ku sangka jalan luas lurus tiada bengkang bengkoknya
Kekadang disitulah ada bahayanya
Kecualilah jalan lurus yang luas terbentang, panjang tanpa tepiannya
Terasa kebebasan tanpa dikongkong
Selesa tidak dibelenggu
Tapi ianya umpama sekeping kertas ditimbunan buku
Lalai dihimpit kebodohan sendiri
Namun ku cari jati diri melalui jalan berliku
Walaupun jalan luas lurus senang dilalui
Ku tahu tiada keselesaan di jalan berliku
Namun itulah jalan yang ku lalui
Kerana di hujung sana ada kedamaian
Tiada bisikan gembira kedengaran di telinga
Cuma rasa duka kecewa singgah dijiwa
Kebahagiaan diriku adalah rasa duka ku
Selama ini duka itulah kebahagiaanku
Ketikanya akan tiba mengecapi kebahagian dalam duka
Mungkin waktu itu aku masih lalai dengan khayalan indah dunia

Wednesday, July 22, 2009



Kini telah hampir setahun aku menjalani rawatan dialisis, dalam seminggu tiga kali berulang alik ke Pusat Rawatan Dialisis, empat jam setiap kali rawatan, apabila selesai rawatan selalunya badan akan rasa keletihan, minda juga letih, tiada daya upaya untuk menulis. Maka blog akan tinggal kosong agak lama juga.

Mesin dialisis dicipta sebagai alat mencuci atau kitaran darah bagi pesakit-pesakit kegagalan buah pinggang, ianya sebagai alternatif sahaja sebagai fungsi menjalankan kerja-kerja yang dilakukan oleh buah pinggang, tidak akan selamanya sama seperti buah pinggang ciptaan Allah.

Selalunya rawatan ini memerlukam pesakit banyak bersabar, apa tidaknya, empat jam tersadai di bangku dialisis, fikirkankanlah aktiviti yang boleh kita lakukan selama itu jika kita kuat dan cergas tidak teperok di bangku tersebut, seperkara lagi memerlukan kesabaran ialah, setiap kali rawatan akan merasai akan kesakitan tusukan dua batang jarum di lengan/tangan atau bahagian-bahagian yang ditentukan, satu jarum menyambung dengan saluran untuk aliran darah keluar dan satu lagi untuk masuk semula setelah darah dikitarkan di mesin.