Wednesday, May 13, 2009

PEMIMPIN YANG MENIPU RAKYAT, MENDAPAT NERAKA
HURAIAN:
SAMI’TUN NABIYU YAQULU : MA MIN ‘ABDIN ISTAR ‘AHULLAHU RA’IYYATAN FALAM YAHUTHHA BINASYIHATIN ILLA LAM YAJID RAIHATAL JANNATI.
Saya mendengar Nabi s.a.w. bersabda : “Tidak ada seseorang hamba yang Allah menyuruh kepadanya memimpin segolongan rakyat, lalu dia tidak memelihara rakyatnya itu dengan jalan memimpin mereka kepada kemasylahatan dunia dan akhirat, melainkan tiadalah dia mencium bau syurga”

Al-Bukhari 93 : 8; Muslim 1 : 6; Al-Lu ‘lu-u wal Marjan 1 : 30.

Yakni: Nabi menerangkan bahawa orang yang dipilih menjadi pemimpin tetapi tidak memelihara rakyatnya dan tidak melayani keperluan-keperluan mereka dengan jujur dan ikhlas, tidak akan mencium bau syurga ( tidak masuk kedalam syurga ).

Para Ulama berkata: “Sabda Nabi, tidaklah dia dapat mencium bau syurga”, ditakwilkan dengan dua takwil.

Pertama, dengan mengertikan bahawa pemerintah yang tidak dapat mencium bau syurga itu, adalah pemerintah yang memandang bahawa dia tidak berdosa kerana tidak memelihara dan melayani rakyatnya. Kalau memandang bahawa dia berdosa dengan perbuatannya itu, tidaklah dia diharamkan dari masuk syurga.

Kedua, dengan mengertikan bahawa pemerintah itu, tidak dimasukkan kedalam syurga bersama-sama orang yang mendapat keutamaan. Bukanlah maknanya bahawa pemerintah yang demikian itu, dikekalkan dalam neraka.

Al Qadli ‘Iyadl berkata: “Hadis ini jelas memberi peringatan kepada pemerintah jangan menipu rakyat yang mereka kuasai, iaitu dengan tidak memperhatikan keperluan rakyat, tidak memperlihat dan mengingati rakyat beragama dengan agama Allah yang benar (Islam) dan tidak memelihara syariat, serta tidak membelanya, atau tidak berlaku adil terhadap rakyat. Sesungguhnya Nabi s.a.w. memperingatkan dengan hadis ini bahawa berlaku tidak jujur kepada rakyat, adalah satu dosa besar yang membinasakan lagi menjauhkan dari syurga”.

KESIMPULAN:
Hadis ini memberi pengertian, bahawa seseorang yang diserahkan kepadanya urusan rakyat, lalu dia tidak memelihara rakyatnya dengan sempurna dan tidak memperhatikan urusan-urusan rakyat yang membawa mereka kepada kebaikan dan kejayaan, tidak mendapat bau syurga. Yakni: tidak masuk kedalam syurga bersama-sama orang yang mula-mula masuk, atau sama sekali tidak dibenarkan masuk kedalam syurga jika sipemerintah itu memandang bahawa tindakannya yang demikian itu, tindakan yang halal.

Irsyadus Sarie 10 : 223; Syarah Syaheh Muslim 2 : 166, Hidayatul Barie 2 : 120.

1 comment:

  1. Firman ALLAH S.W.T;
    Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
    (Al-Mai'dah ;8)

    ReplyDelete